Usia anak sudah 4 tahun. Mama hamil lagi. Seronok bukan main lagi untuk menunggu kalau-kalau dapat bayi lelaki.
Mama lalui kehidupan seperti biasa tetapi hati mama asyik berkata "Ah, tak perlu jumpa doktor dulu, tunggu 3-4 bulan. Bukan tak biasa hamil. Setakat ni tak ada masalah pun" Pelik! Mama sangat yakin...
Seperti biasa mama memang bukan jenis yang tak alami alahan waktu hamil. Mama biasa lasak. Masa disyaki hamil anak kedua, mama masih main bolajaring bersama murid di padang, nun di Damansara Jaya. Tak ada masalah langsung. Sehinggakan semasa sarat anak ke 2, doktor risau kerana bukaan pintu rahim sudah mencapai 4 cm sdgkan mama ada masa 20 hari lagi untuk bersalin. Masa tu pun mama yakin, rasa sihat walaupun rakan2 risau dan berpesan supaya mama bawa bekalan pakaian baby dan selimut setiap hari. 10 hari sebelum tarikh bersalin, mama dah jalani "induction" gara-gara doktor risau mama nanti tiba-tiba sakit dan terus melahirkan dalam bilik darjah.
Hamil kali ketiga juga mama lasak pada usia 33 tahun sehingga pada hari yang jadi kenangan itu, mama uruskan anak-anak didik untuk sesi penggambaran kelas, mama rasa sedikit tak selesa. Bila di periksa ada tanda2 coklat tetapi bukan darah.
"Hah?" Berdebar hati mama dan mama termenung di Bilik guru. Terserempak dengan Ana yang biasa alami pendarahan bersalin, mama bercerita...
" kak, kalau darah fresh.. masih ok, tak risau sangat tapi kalau keluar coklat2 macam tu, lebih baik cepat periksa dengan doktor..." Macam-macam lagi nasihat Ana.. mama jadi panik sedikit.
Malam itu, mama berkunjung ke klinik berhampiran. Kebetulan pula doktornya adalah rakan sama universiti dulu. "Hmmm... takde denyutan jantung, saiz pun sangat kecil berbanding karungnya.." Ulas Doktor Linda.
Hati mama memang kental dalam keadaan terdesak. Mama tenang dan dengar teliti setiap patah yang keluar dari mulut doktor. "Kita tunggu seminggu lagi la.." kata doktor. Mama dan suami akur dengan nasihat doktor.
Mama berehat seperti dinasihatkan tetapi pada hari Ahad tu, mama mohon berjumpa doktor lain untuk yakinkan diri. Kami ke doktor perbidanan... Sah.. kandungan mama memang tak menjadi.. Pada usia 12 minggu.. baru tahu. "Mis-abortion" Kata doktor. "You jangan risau atau sedih, keadaan begini selalunya terjadi kerana ada masalah pada kandungan. jadi ia tidak terus berkembang sepeti kebiasaan, seperti ada kerosakan dan kalau terus berkembang pun mungkin ia ada masalah..." Doktor menerangkan. Seterusnya beliau jelaskan prosedur D&C. Mama akur sahaja, semua perasaan bercampur-campur. Sedih, redha, kecewa, risau... silih berganti.
Sambil menunggu ditolak ke ruang bersalin...atau dalam kes mama ruang D&C, fikiran mama melayang. Seminggu lalu mama masih ingat dengan jelas satu mimpi mama. Mama berlari ke sana sini mencari anak kecil mama yang hilang sedangkan 2 orang anak ada bersama dengan mama. Jadi, siapa yang mama cari? Selepas itu, mama terasa segala perasaan hamil dan keletihan akibat hamil itu sudah seperti tiada. Macam pertalian perasaan dengan kandungan mama berkurangan. Bila mama bekerja mama rasa sihat, seperti tidak sedar mama hamil. Ada juga rasa hairan tapi mama anggap memang mama biasa lasak. Jatuh masa bersalin pun mama oka sahaja...(pengalaman sebelum ni)
Rupa-rupanya semua itu tanda atau isyarat dia sudah tiada. Nak jadikan cerita, mama pernah bawa anak kedua ke klinik semasa demam dan bertanya doktor perlukah mama scan kandungan.. Doktor berkenaan kata, tak perlu, baru sangat lagi. Jadi, mama tak pernah tahu sama ada kandungan mama pernah bernyawa atau tidak. Dari segi perasaan memang seperti ada tetapi akhirnya hilang walaupun perut diusap-usap seperti kehamilan mama yang biasa.
Mama cuba redha dan terima hakikat tetapi hati mama tuhan saja yang tahu. Menangisnya di dalam.. mama seolah-olah menyalahkan orang lain... Ibarat sedang membina istana tetapi tiba-tiba ia runtuh hancur bertaburan di tanah. Berat sungguh untuk memerima hakikat mama sudah ada pengalaman keguguran...tidak seperti emak mama.
Seterusnya mama layan hati dan paksa diri berehat walaupun selepas 2 hari, mama rasa dah segar dan boleh aktif semula..Bercerita dengan anak kedua, mama beritahu dia.."Adik tak jadi datang jumpa kita... Dia dah pergi jumpa tuhan.. Dia suruh kita tunggu adik lain datang..." Kalau boleh menangis, mama memang nak menangis tetapi memberi kefahaman kepada anak kecil di depan mata itu lebih penting. Mama rasa seperti mama nak batalkan janji untuk belikan dia mainan sedangkan dia sangat ternanti-nanti akan mainan tersebut.
3 budak yang lahir selepas mama alami keguguran.. Dah besar..
Alhamdulillah, seterusnya kami mendapat baby lagi dan lagi dan lagi sebagai gantinyai... Biarlah dia kembali kepada tuhannya...jika itu yang lebih baik...Sesekali terdetik juga di ingatan.
Bagi rakan-rakan yang masih mempunyai perancangan untuk hamil, jaga diri dan kandungan, ambil supplement utk ketahanan dan kekuatan kerana tubuh kita dimakan usia. Kalau semasa usia 20 an kita segar, memasuki usia 30an adalah berbeza, jangan menganggapnya sama. Mama selalu nasihatkan kawan-kawan, kalau dah lewat gatang bulan periksa, jika tahu hamil ,senang nak jaga, jika tahun tak hamil, itupun tak mengapa...Takut tersalah langkah seperti mama.
Tenang dan damai meneliti wajah anak2 terutama ketika tidur. Seronok mendakap semasa mereka kecil dan sesungguhnya dakapan ibu adalah dakapan yang menenangkan dan mengubatkan resah hati mereka..
Salam sayang, sayangi anak2 kita...permata utk digilap dan dijaga.
Dicatat di Rumahku Syurgaku 4.15 pagi 28 januari 2013
No comments:
Post a Comment